Wednesday, 8 June 2011

Kisah Pokok Epal Dan Budak Lelaki

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar.Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari.Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya,dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut.Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya.Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.



Masa berlalu…budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja.Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu,suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.”Marilah bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pokok epal itu.”Aku bukan lagi kanak-kanak,aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau,”jawab budak remaja itu.”Aku mahukan permainan.Aku perlukan wang untuk membelinya,” tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.Lalu pokok epal itu berkata, “Kalau begitu,petiklah epal-epal yang ada padaku.Jualkannya untuk mendapatkan wang.Dengan itu,kau dapat membeli permainan yang kau inginkan.” Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ.Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih. Masa berlalu… Suatu hari,budak remaja itu kembali.Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira.”Marilah bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pokok epal itu.”Aku tiada masa untuk bermain.Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang.Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku.Bolehkah kau menolongku?” Tanya budak itu.”Maafkan aku.Aku tidak mempunyai rumah.Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya.” Pokok epal itu memberikan cadangan. Lalu,budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya.Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.



Suatu hari yang panas,seorang lelaki datang menemui pokok epal itu.Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu.Dia telah matang dan dewasa.”Marilah bermain-mainlah di sekitarku,” ajak pokok epal itu.”Maafkan aku,tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu.Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar.Malangnya,aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?” tanya lelaki itu.”Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau.Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot.Kau akan dapat belayar dengan gembira,” cadang pokok epal itu. Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu.Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.
Namun begitu,pada suatu hari,seorang lelaki yang semakin dimamah usia,datang menuju pokok epal itu.Dia adalah budak  lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.”Maafkan aku.Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual,dahanku untuk kau buat rumah,batangku untuk kau buat bot.Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati…” kata pokok epal itu dengan nada pilu.”Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya,aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya,aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku sudah tidak berupaya untuk belayar lagi,aku merasa penat dan ingin berehat,” jawab lelaki tua itu.”Jika begitu,berehatlah di perduku,” cadang pokok epal itu. Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat.Mereka berdua menangis kegembiraan.
Wahai insan yang mulia, cerita di atas adalah merupakan satu analogi perhubungan di antara ibu bapa dan anak-anak. Ketika kita masih kecil, kita sangat suka bermain bersama dengan mereka, kita berdamping dengan mereka, malahan walau seburuk mana pun kelakuan kita ketika kita masih kecil, mereka redha menerima kita sebagai anak mereka yang sangat mereka kasihi.
Pengorbanan ibu bapa yang dicurahkan kepada anak-anak tidak dapat digambarkan dalam bentuk artikel kerana pengorbanan mereka sangat indah sehinggakan ada yang sanggup membuang rasa malu dan terus mencari ikhtiar bagi memenuhi kehendak anak-anak mereka. Namun, apabila kehendak kita ditunaikan kita sering lupa dan alpa malah kita terus hanyut dengan keindahan dunia bersama rakan-rakan kita tanpa kita memikirkan perasaan ibu bapa kita sendiri.
Wahai Pembaca yang mulia,

Manusia sangat suka dihargai dan kita tidak suka diabaikan dalam semua perihal. Apabila kita dihargai kita merasakan satu semangat yang baru tumbuh dalam diri kita untuk meneruskan apa jua yang sedang kita perjuangkan. Adakah kita pernah terfikir perasaan yang sama akan dirasai oleh ibu bapa kita? Manusia, sering lupa apabila dilemaskan dengan kemewahan dunia. Ibu bapa kita juga suka dihargai, malah mereka lebih menantikan penghargaan yang akan diberikan oleh anak-anak mereka sendiri berbanding orang lain. Anak-anak yang menjadi kebanggaan mereka akan menghargai mereka, siapa yang tidak ternanti-nantikan? Apabila kita mendapat segulung ijazah, kita akan menangis kegembiraan disebabkan usaha kita berbaloi, ibu bapa akan menangis kegembiraan kerana usaha mereka mendidik anak-anak mereka berhasil tetapi pernahkah kita sebagai anak menangis kegembiraan kerana kita mempunyai ibu bapa yang memberi didikan kepada kita? Pernahkah kita menangis kerana kita rasa bersyukur kita mempunyai ibu bapa dan disebabkan itu wujud kita sebagai manusia yang diberi peluang untuk hidup di muka bumi ini?
Oleh itu, sedarlah. Kalau ada perumpamaan mengatakan anak-anak itu permata dan lambang kecintaan antara dua insan,  apakah perumpamaan yang patut kita berikan kepada kedua ibu bapa kita? Hargailah mereka sementara mereka masih dapat dicapai oleh anda agar kelak tidaklah anda menangis memeluk sekujur jasad yang tidak bernyawa kerana menyesal tidak menghargai mereka. Peluklah mereka dan bisikkanlah “Ibu/Ayah, saya sayang sangat kat ibu.” Jadikan perkataan azimat itu sebagai satu janji untuk kita terus menyayanginya hingga ke hujung nafas kita. Jika ucapan cinta boleh dilafazkan antara kekasih, mengapa tidak lafaz itu kita hadiahkan kepada ibu bapa kita sebagai satu tanda kita sayangkan mereka??


No comments:

Post a Comment